Sejarah

Sekolah Kebangsaan Titi Gajah telah ditubuhkan pada tahun 1909 dengan nama Sekolah Melayu Titi Gajah.       

          Era pertamanaya ialah era sebelum perang dunia pertama. Bangunan ini dibina oleh kerajaan di atas tapak sekarang juga, iaitu di tepi jalan raya kilometer 9, Alor Setar, Kepala Batas, Kedah.

          Pada zaman itu, darjahnya bermula dari darjah 0 hingga darjah 4 sahaja. Murid-murid belajar dalam sebuah bangunan yang berbumbungkan atap nipah, berdindingkan pelepah nipah dan berlantaikan tanah liat. Bilangan murid pada ketika itu kurang daripada 100 orang.

        Apabila murid mula bertambah, kerajaan membina sebuah lagi bangunan yang lebih sempurna, iaitu bangunan batu, bumbung genting dan lantainya papan. Bangunan pertama telah di robohkan.

         Di samping itu juga, kerajaan telah membina sebuah rumah khas untuk guru besar dan dua buah rumah bagi penolong guru besar. Kawasannya di pagari. Untuk kegiatan jasmani, sebuahpadang yang sempurna telah dibina di hadapan sekolah, iaitu di atas tapak bangunan asal sekolah. Di kiri kanan sekolah ini terdapat sawah padi yang subur. Begitu juga di bahagia belakangnya.

         Pada tahun 1950, kerajaan terpaksa membina sebuah lagi bangunan kayu, atap asbestos dan lantainya kayu juga disebabkan kesedaran pendidikan mula meningkat dan bilangan murid makin bertambah. Bangunan ini terletak di tepi jalan masuk ke sekolah sekarang. Pada ketika itu, bilangan bilik darjah yang terdapat dalam bangunan ini adalah sebanyak enam buah bilik darjah.

        Tanggal 27 Jun 1970, Duli Yang Maha Mulia Tuaku Sultan Abdul Halim Muazzam Shah Ibni Al Mahrum Sultan Badlishah telah merasmikan pembukaan sebuah bangunan baru dua tingkat.

            Bangunan ini mempunyai 10 buah bilik darjah, sebuah pejabat guru besar dan sebuah pejabat pegawai tadbir. Salah sebuah bilik darjah ini di ubah suai sebagai perpustakaan sekolah.

            Bersama-sama dengan pembinaan bangunan ini, sebuah rumah guru telah dibina yang sekarangnya telah dipinda menjadi sebuah kelas pembelajaran akses kendiri. Pada ketika itu juga, bilangan penduduk di sekitar Titi Gajah meningkat dan pada masa yang sama juga bilangan jumlah murid juga turut meningkat. Oleh hal demikian, dengan pertambahan murid yang makin bertambah maka kerajaan menambah sebuah lagi bangunan konkrit dua tingkat yang mengandungi lapan buah bilik darjah pada ketika itu. Di samping itu juga, sebuah kantin sekolah yang agak sempurna juga telah dibinakan. Perkembangan ini berlaku dalam tahun 1983.

         Pada tahun 1990, sebuah lagi bangunan telah dibina di bawah projek gotong-royong. Bangunan ini memuatkan tiga bilik darjah. Pada tahun yang sama sebuah bangunan surau telah dibina bagi kemudahan kelas fardhu ain dan latihan amali solat bagi semua murid.

           Dengan perkembangan yang yang pesat dalam bidang pendidikan maka Sekolah Kebangsaan Titi Gajah berkembang dengan cepat seiring dengan sekolah-sekolah yang lain sekitar daerah Kota Setar dalam bidang kurikulum dan juga dalam bidang kokurikulum. Kini Sekolah Kebangsaan Titi Gajah mampu melahirkan pelajar yang berwawasan yang mempuyai jati diri yang kuat serta beretika seterusnya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pada era tahun 2000, bangunannya Sekolah Kebangsaan Titi Gajah dengan berwajah baru yang mana sekolah ini dapat menampung murid seramai 514 orang dalam satu masa. Ini kerana sekolah ini telah mempunyai dua buah bangunan dua tingkat dan sebuah bangunan tiga tingkat yang mana bangunan ini mempunyai dewan yang dapat menampung kesemua pelajar dan guru dalam satu masa, bilik pentadbiran sekolah, pusat sumber, bilik tayangan dan mempunyai sebuah bangunan surau dan ICT untuk tujuan kemudahan murid-murid Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

           Kini, Sekolah Kebangsaan Titi Gajah ditadbir oleh Tn. Pn Zuraimi binti Mansor iaitu Guru Besar yang menjalankan tugas dengan tegas, amanah, telus dan penuh dedikasi di dalam menjalankan tugas beliau. Tn. Pn Zuraimi binti Mansor  telah memulakan tugas beliau di sekolah ini pada  20.05.2015.

            Semoga Sekolah Kebangsaan Titi Gajah akan terus maju Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dalam melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.


BEKAS MURID
SEK. KEB. TITI GAJAH
YANG TERKENAL

  1. SULTAN ABDUL HALIM MUAZZAM SHAH IBNI AL-MAHRUM SULTAN BADLISHAH - SULTAN BAGI NEGERI KEDAH DARUL AMAN DAN YANG DI PERTUA AGUNG YANG KE 5
  2. TENGKU ABDUL MALIK IBNI AL-MAHRUM SULTAN BADLISHAH
  3.                    RAJA MUDA KEDAH DARUL AMAN
        3.    TAN SRI ABDUL AZIZ BIN MD. ZIN BEKAS HAKIM DAN PENGERUSI GURU-            GURU SCHEME AZIZ 1972
      4.   TAN SRI DATO' AHMAD NORDIN BIN MD. ZIN BEKAS PENGARAH                          PENERANGAN MALAYSIA DAN SETIAUSAHA PERKIM
    5.   TUAN HAJI HASHIM BIN MOHD. HASSAN BEKAS SETIAUSAHA MAJLIS AGAMA ISLAM KEDAH


    1. TUAN HAJI MD. ARSHAD BIN MD. YUSOF PENGERUSI BAKTI COMMUNICATIONS SDN. BHD. BELIAU BANYAK MEMBERI SUMBANGAN YANG MERUPAKAN WANG RINGGIT DEMI UNTUK KEMAJUAN SEKOLAH DAN MURID
    2. DATUK BASHAH BIN NORDIN BEKAS PENGARAH PERANCANG EKONOMI MALAYSIA
    3. EN. FADZIL BIN MD. HASSAN​ BEKAS TIMBALAN PENGARAH JPS MALAYSIA


2 comments:

  1. saya adalah antara ribuan bekas murid SKTG 1968 - 1973. Pengalaman dapat bersama semasa Almarhum DYMM Sultan Kedan merasmian bangunan dua tingkat yang baharu 1970. Semasa majlis perasmian tersebut saya melihat almarhum ayahanda saya HJ. MD. ARSHAD BIN MD. YUSOFF, AMN, BKM sangat sibuk sebagai salah seorang AJK penggerak majlis perasmian bangunan baharu SKTG. Semasa Darjah Satu hingga Darjah Empat saya belajar di bangunan lama iaitu kelas bangunan kayu yang sangat unik dan menarik (telah dirobohkan). Bangunan ini mempunyai tiga pintu masuk sahaja dan menempatkan enam buah kelas sahaja (kalau tak silap). Saya bersekolah sezaman dengan salah seorang anak muriud SK Titi Gajah yang berjaya Dr.Azman Hj. Ismail (Ahli Parlimen Kuala Kedah - sekarang). Kami sekeluarga bermula dari kakak yang sulung (HJH. WAN FATIMAH MD. ARSHAD)sampailah kepada adik yang bongsu (HJ. MEGAT MOHD RODZI MD. ARSHAD) semuanya ayahanda kami hantar bersekolah di SKTG. Pengalaman diri sendiri ialah apabila tinggal berjiran dengan guru yang mengajar menulis dan membaca di SKTG. Cikgu Ahmad @ Cg. Mat mudah dikenali orang kampung kerana beliau akan berbasikal pergi - balik ke sekolah. Selepas bersara kenderaan utama beliau ke masjid atau ke mana-mana ialah basikal. Saya sangat menghormati Cg. Mat dan akan mengambil peluang menziarahinya apabila balik ke kampung semasa bercuti. Pada 01.01.2018 mendapat khabar sedih bahawa Cg.Mat telah kembali kerahmatullah di rumah anakandanya Mohd Razf di Subang Perdana. Kebetulan hari itu hari cuti umum Tahun Baharu (2018) maka saya bergegas dapatkan info lakosi rumah sahabat sekampoung dan jiran saya Mohd Razif Ahmad. Saya bergegas ke Masjid Subang Perdana dan ke kemudian mengiringi jenazah Cikgu saya @ Cg. Mat ke tanah perkuburan Isklam Subang Perdana, Selangor. Allah beri rezeki untuk saya selaku jiran, dan anak muridnya untuk bersama-sama menguruskan pengkebumian jenazahnya. Cikgu mat kembali kerahmatullah pada usia 90 tahun dan merupakan antara orang yang tertua di kampung Titi Gajah. Pengalaman lain, ialah sebagai penjawat awam dan bertugas dengan Kementerian Pendidikan saya berpeluang membuat lawatan penaziran di sekolah ini. Dan kesempatan itu saya pula mengambil peluang untuk memberi slot motivasi khas kepada murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Alhamdulillah. SKTG banyak memberi inspirasi untuk diri saya berjaya sehingga ke hari ini. Dan setiap kali balik ke kampung dan melalui jalan utama pasti akan menoleh ke arah bangunan sekolah yang tersergam indah yang padanya ada memori indah diriku bersamanya.

    Catatan:
    Cg.HJ.MEGAT MD. SALEH BIN MD.ARSHAD, PJK,PPB
    Penolong Pengarah
    Jemaah Nazir
    Kementeriuan Pendidikan Malaysia
    Blok E15, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62604 Putrajaya

    ReplyDelete
  2. Saya pun pernah belajar di SKTG dalam tahun 1976-77...cikgu yg mengajar saya masa tu seorang cikgu lelaki agak berumur( lupa nama) tetapi yg saya ingat selalu kemana2 dengan basikal

    ReplyDelete